Salam dan Salam Sejahtera

Selamat datang dan jom kita ber'chat' dan berkongsi cerita untuk sesuatu yang bermanfaat dan menghiburkan diri kita dan insan di sekeliling kita.

My Profile

My photo
Ayer Keroh, Melaka Bandaraya Warisan Dunia, Malaysia
Minat dalam membincangkan isu sosial dalam masyarakat konvensional di Malaysia khususnya dan isu-isu berkaitan serta menggalakkan interaksi formal dan tidak formal dalam mengajukan pendapat, idea, komen, kritikan membina dan lain-lain lagi. Sambil juga sudi berkongsi pengalaman, masalah, nasihat dan sebagainya dalam membangunkan diri serta elemen-elemen di persekitaran. Gemar juga menggunakan peluang-peluang untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan untuk memperkayakan diri dengan pengalaman, ilmu dan mencari keberkatan hidup bersama keluarga tercinta kerana Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih..... amin

Thursday, April 23, 2009

'Lelaki Lembut' di 'Territory' Akademik

Kumpulan lelaki lembut di Malaysia sering kali dikaitkan dengan pelbagai istilah seperti pondan, mak nyah, arbok (suatu istilah yang jarang digunapakai kecuali di Kuala Lumpur dan Selangor), lelaki lembik dan lain-lain lagi. Kumpulan lelaki lembut ini dilihat mempunyai perwatakan yang mirip ciri-ciri seorang wanita dan mempunyai kumpulan dengan memiliki sub-budaya tertentu. Kumpulan lelaki lembut sering mendapat persepsi negatif daripada masyarakat di sekeliling mereka. Kehadiran kumpulan lelaki lembut ini dapat dilihat melalui media seperti rancangan yang menggunakan watak lelaki lembut seperti 2+1, Jangan Ketawa yang ditayangkan di TV3 suatu masa dulu. Individu daripada kumpulan ini juga terlibat dibelakang pentas sebagai jurusolek atau pendandan untuk artis atau pelakon.

Kumpulan lelaki lembut adakalanya membuat beberapa perubahan fizikal ke atas diri mereka yang seakan-akan wanita seperti pembedahan menghasilkan buah dada dan menukar alat kelamin bagi memaparkan kepada umum sifat-sifat luaran dan dalaman mereka yang mempunyai jiwa kewanitaan. Fenomena mengubah keadaan fizikal ini menjurus dan menggalakkan mereka untuk melakukan perubahan fizikal secara total yang sememangnya amat bertentangan dengan nilai-nilai dan norma-norma masyarakat timur dan juga pegangan agama contohnya agama Islam, Kristian, Buddha dan Hindu. Kumpulan lelaki lembut sekiranya dilihat dari konteks Malaysia, mereka juga terlibat dalam menganggotai kumpulan-kumpulan sama ciri-ciri dengan mereka seperti di Universiti Putra Malaysia iaitu kelab berkonsepkan pelajar lelaki lembut (pertubuhan haram) yang diketuai oleh Mawar Desa (nama samaran) yang merupakan seorang pelajar kejuruteraan pada tahun 1999.

Fenomena kumpulan lelaki lembut ini juga terdapat di institusi pengajian tinggi (IPT) tidak kira di IPT Awam dan IPT Swasta seperti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Multimedia (MMU). Kewujudan kumpulan ini di IPT khususnya dalam kelompok pelajar merupakan peluang kepada mereka untuk bersama bagi membentuk kumpulan-kumpulan yang mempunyai ciri-ciri yang sesuai dengan mereka dan mempunyai objektif atau matlamat tertentu. Kumpulan ini biasanya gemar bergaul dengan kelompok wanita dan bergaul pada tahap yang minima dengan kelompok lelaki. Kumpulan ini semasa di IPT merupakan sebahagian daripada kumpulan pelajar-pelajar dan berkelakuan secara sederhana dalam menonjolkan ciri-ciri kewanitaan mereka.

Kewujudan kumpulan lelaki lembut ini mempunyai kemungkinan untuk memberi kesan kepada kadar berlakunya masalah sosial di IPT. Menurut Kuumba (2001) mengatakan bahawa gender adalah prinsip yang disusun di dalam masyarakat manusia dan…… peranan gender, hubungan dan ketaksamaan memberi kesan kepada keadaan atau cara yang kompleks dalam masalah sosial (dalam Ferber & Kimmel 2005: 7).

Populasi lelaki lembut di IPT adalah dalam kadar yang sedikit berbanding lelaki normal. Walaupun begitu, kehadiran mereka masih lagi dirasai kerana ciri-ciri kewanitaan yang ditunjukkan oleh mereka dapat dilihat secara jelas. Statistik berkenaan kumpulan lelaku lembut di IPT sukar diperolehi kerana tiada kaedah yang khusus dalam usaha mendapatkan data dan maklumat mereka. Ini berlaku kerana di Malaysia dan di IPT khususnya, hanya status yang diktiraf adalah pelajar lelaki atau pelajar perempuan tetapi tidak bagi status pelajar lelaki lembut.

Kumpulan lelaki lembut mempunyai sub-budaya mereka sendiri bagi membezakan kumpulan mereka dalam masyarakat. Menurut Swidler (1986) menyatakan bahawa gender mengandungi suatu set alat budaya atau sumber-sumber budaya yang mana keseluruhan pergerakan sosial dipengaruhi sama ada secara sedar ataupun tidak sedar. Oleh yang demikian, kumpulan lelaki lembut masih wujud di IPT seperti pelajar lain dengan mempunyai sub-budaya tertentu yang menggambarkan identiti kumpulan ini.
Adakah golongan ini suatu masalah atau 'advantage' dalam masyarakat Universiti?

Tuesday, April 21, 2009

Isu Mat Rempit di Kuala Lumpur

Isu golongan muda yang terlibat dalam jenayah dan delinkuensi merupakan fenomena yang dialami oleh Malaysia dan juga negara-negara lain di dunia. Apabila fenomena sosial golongan muda dibincangkan, selain isu berkaitan dadah, seks luar nikah, peleseran dan lain-lain lagi, fenomena ‘Mat Rempit’ turut mendapat tempat yang kian meluas. Sekiranya diteliti secara mendalam fenomena ‘Mat Rempit’ mengandungi pelbagai fenomena sosial lain yang secara tidak langsung mengukuhkan imej negatif berkenaan ‘Mat Rempit’ dalam masyarakat konvensional di Malaysia. Permasalahan tersebut perlu dibendung dengan penglibatan daripada segenap lapisan masyarakat selain pihak berkuasa seperti polis bagi memperolehi kesan yang berpanjangan dan efektif serta dalam usaha mengubah imej negatif ‘Mat Rempit’ kepada suatu bentuk yang bermakna sebagai aset negara. Fenomena ‘Mat Rempit’ boleh dilihat sebagai satu budaya baru dalam kalangan golongan muda dan menjelaskan kepada umum cara gaya kehidupan mereka yang menginginkan suatu yang lain daripada kebiasaan dan mencabar.
Fenomena ‘Mat Rempit’ menggunapakai pelbagai istilah di mana ia mendefinisikan seorang individu yang terlibat dalam tingkah laku memandu motosikal secara laju dan membahayakan diri dan orang awam seperti ‘Mat Motor’, ‘pelumba haram’, ‘budak racing’, ‘Mat Bodoh’, dan lain-lain lagi. Masyarakat turut sama membincangkan secara tidak langsung pelbagai istilah baru untuk menggantikan istilah ‘Mat Rempit’ bagi memberikan imej negatif kepada mereka dan setiap istilah yang diberikan kepada kumpulan ‘Mat Rempit’ adalah suatu reaksi negatif masyarakat terhadap golongan ini. Di negara barat ‘Mat Rempit’ dikenali sebagai Hell Rider (Rozmi Ismail 2004: 1) manakala di Indonesia ia dikenali sebagai ‘Pembalap Haram’. Kumpulan ‘Mat Rempit’ dilihat sebagai sebuah kumpulan yang agresif, ganas, liar, menakutkan, dan terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta memiliki sub-budaya dan keadaan inilah di antyara yang berjaya mengundang reaksi negatif anggota masyarakat. Respon pelbagai pihak dalam masyarakat dan sub-budaya seperti bahasa yang wujud secara tidak langsung sebenarnya mengiktiraf kehadiran ‘Mat Rempit’ di Kuala Lumpur dan secara tidak langsung mendorong pengekalan kewujudan mereka sebagai satu kumpulan dalam masyarakat. Sesetengah individu daripada kumpulan ini juga dikatakan terlibat dengan kes-kes jenayah dan delinkuensi. Kehadiran kumpulan ‘Mat Rempit’ di Kuala Lumpur boleh dilihat dengan ketara di kawasan Dataran Merdeka sebagai lokasi utama dan kawasan-kawasan sekitarnya seperti di Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di kawasan-kawasan Bangsar, Ampang, Cheras, Sentul, Kepong, Damansara dan Brickfields. Permasalahan ‘Mat Rempit’ melibatkan penggunaan Seksyen 42 APJ 1987 (Akta 333) Pindaan 1999 walaupun sebenarnya undang-undang yang digunapakai adalah melibatkan kesemua pengguna jalan raya di Malaysia.
Kumpulan ‘Mat Rempit’ adalah sekumpulan generasi muda di Malaysia kini dikaitkan dengan aktiviti bermotosikal secara berkumpulan yang terlibat dalam perlumbaan haram dan tingkah laku jenayah seperti jenayah ragut dan melakukan seks luar nikah. Apabila kita melihat ‘Mat Rempit’ sebagai suatu fenomena dalam masyarakat, ‘Mat Rempit’ suatu masa nanti akan hilang dan diganti dengan suatu fenomena lain yang berasal daripada fenomena ‘Mat Rempit’ itu sendiri tetapi dibangunkan dalam bentuk yang baru mengikut peredaran zaman. Pada tahun 1980-an sehingga awal tahun 1990-an fenomena ‘Mat Rempit’ dikenali sebagai fenomena ‘Mat Motor’. Pada ketika itu ‘Mat Motor’ hanya terlibat dalam perlumbaan motosikal sahaja dan jarang menggunakan jalan raya sebagai litar lumba haram dan kurang melakukan aktiviti jenayah. Apabila istilah baru diperkenalkan iaitu ‘Mat Rempit’, identiti dan imej mereka turut berubah.


Kandungan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 1999) iaitu memandu secara melulu dan membahayakan merupakan di antara undang-undang yang digunapakai dalam membanteras kumpulan ‘Mat Rempit’. Namun tiada suatu undang-undang khusus yang digubal oleh pihak kerajaan dalam berhadapan dengan kumpulan ‘Mat Rempit’. Terdapat pihak yang mencadangkan kerajaan dan pihak polis menggubal undang-undang yang khusus untuk menangani segala aktiviti kumpulan ‘Mat Rempit’. Persoalannya adakah setiap fenomena sosial yang wujud di Malaysia di mana ianya dilihat sebagai menggugat ketenteraman dan keharmonian masyarakat perlu digubal dan dikuatkuasakan? Adakah suatu masa nanti Malaysia bakal menjadi sebuah negara yang memiliki pelbagai undang-undang berkenaan masalah sosial? Adakah penggubalan undang-undang ini nanti akan menjadi kayu pengukur masalah sosial di Malaysia? Suatu penyelesaian yang boleh dianggap praktikal adalah penambahbaikan undang-undang sedia ada dan penguatkuasaan yang berterusan perlu dilakukan.

Fenomena ‘Mat Rempit’ boleh dilihat sebagai suatu sub-budaya yang secara jelasnya menentang nilai-nilai dan norma-norma yang dipegang oleh masyarakat konvensional di Kuala Lumpur khususnya dan di Malaysia umumnya. Penjelasan lebih menjurus kepada counterculture di mana sub-budaya yang dipegang menolak budaya masyarakat umum dan mencari suatu gaya hidup alternatif (Macionis 1995 & Schaefer 2003). Counterculture amat popular dan mudah berlaku dalam kalangan golongan muda. Sub-budaya ‘Mat Rempit’ yang dihasilkan melalui bahasa digunakan sebagai suatu identiti bagi membezakan mereka dengan masyarakat konvensional, mengekalkan identiti mereka dan juga merupakan suatu wadah mencari kelainan dan kepuasan melalui aktiviti mereka. Sub-budaya tersebut juga dilihat sebagai suatu jenis ‘pemberontakan’ atau ‘ketidakpuasan hati’ golongan muda terhadap budaya masyarakat umum. Kewujudan sub-budaya
‘Mat Rempit’ juga secara tidak langsung mencabar dan menggugat kestabilan budaya dan kehidupan masyarakat di Kuala Lumpur melalui respon meraka terhadap fenomena ‘Mat Rempit’. Selain itu, pembangunan sub-budaya ‘Mat Rempit’ sebagai counterculture juga merupakan suatu sumber perubahan sosial dalam masyarakat. Perubahan sosial yang berlaku melalui fenomena ‘Mat Rempit’ merupakan suatu bukti berlakunya proses urbanisasi dalam masyarakat.

Selain itu, sub-budaya ‘Mat Rempit’ juga merupakan penyelesaian kolektif golongan muda terhadap kehendak dan keinginan mereka untuk terus hidup dengan cara dan kehendak mereka bertentangan dengan sub-budaya masyarakat konvensional. Sub-budaya ‘Mat Rempit’ juga merupakan reaksi golongan muda terhadap pelbagai cabaran dan tuntutan hidup masyarakat konvensional di bandar seperti di Kuala Lumpur.

melorot pacak

melorot pacak