Salam dan Salam Sejahtera

Selamat datang dan jom kita ber'chat' dan berkongsi cerita untuk sesuatu yang bermanfaat dan menghiburkan diri kita dan insan di sekeliling kita.

My Profile

My photo
Ayer Keroh, Melaka Bandaraya Warisan Dunia, Malaysia
Minat dalam membincangkan isu sosial dalam masyarakat konvensional di Malaysia khususnya dan isu-isu berkaitan serta menggalakkan interaksi formal dan tidak formal dalam mengajukan pendapat, idea, komen, kritikan membina dan lain-lain lagi. Sambil juga sudi berkongsi pengalaman, masalah, nasihat dan sebagainya dalam membangunkan diri serta elemen-elemen di persekitaran. Gemar juga menggunakan peluang-peluang untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan untuk memperkayakan diri dengan pengalaman, ilmu dan mencari keberkatan hidup bersama keluarga tercinta kerana Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih..... amin

Tuesday, April 21, 2009

Isu Mat Rempit di Kuala Lumpur

Isu golongan muda yang terlibat dalam jenayah dan delinkuensi merupakan fenomena yang dialami oleh Malaysia dan juga negara-negara lain di dunia. Apabila fenomena sosial golongan muda dibincangkan, selain isu berkaitan dadah, seks luar nikah, peleseran dan lain-lain lagi, fenomena ‘Mat Rempit’ turut mendapat tempat yang kian meluas. Sekiranya diteliti secara mendalam fenomena ‘Mat Rempit’ mengandungi pelbagai fenomena sosial lain yang secara tidak langsung mengukuhkan imej negatif berkenaan ‘Mat Rempit’ dalam masyarakat konvensional di Malaysia. Permasalahan tersebut perlu dibendung dengan penglibatan daripada segenap lapisan masyarakat selain pihak berkuasa seperti polis bagi memperolehi kesan yang berpanjangan dan efektif serta dalam usaha mengubah imej negatif ‘Mat Rempit’ kepada suatu bentuk yang bermakna sebagai aset negara. Fenomena ‘Mat Rempit’ boleh dilihat sebagai satu budaya baru dalam kalangan golongan muda dan menjelaskan kepada umum cara gaya kehidupan mereka yang menginginkan suatu yang lain daripada kebiasaan dan mencabar.
Fenomena ‘Mat Rempit’ menggunapakai pelbagai istilah di mana ia mendefinisikan seorang individu yang terlibat dalam tingkah laku memandu motosikal secara laju dan membahayakan diri dan orang awam seperti ‘Mat Motor’, ‘pelumba haram’, ‘budak racing’, ‘Mat Bodoh’, dan lain-lain lagi. Masyarakat turut sama membincangkan secara tidak langsung pelbagai istilah baru untuk menggantikan istilah ‘Mat Rempit’ bagi memberikan imej negatif kepada mereka dan setiap istilah yang diberikan kepada kumpulan ‘Mat Rempit’ adalah suatu reaksi negatif masyarakat terhadap golongan ini. Di negara barat ‘Mat Rempit’ dikenali sebagai Hell Rider (Rozmi Ismail 2004: 1) manakala di Indonesia ia dikenali sebagai ‘Pembalap Haram’. Kumpulan ‘Mat Rempit’ dilihat sebagai sebuah kumpulan yang agresif, ganas, liar, menakutkan, dan terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta memiliki sub-budaya dan keadaan inilah di antyara yang berjaya mengundang reaksi negatif anggota masyarakat. Respon pelbagai pihak dalam masyarakat dan sub-budaya seperti bahasa yang wujud secara tidak langsung sebenarnya mengiktiraf kehadiran ‘Mat Rempit’ di Kuala Lumpur dan secara tidak langsung mendorong pengekalan kewujudan mereka sebagai satu kumpulan dalam masyarakat. Sesetengah individu daripada kumpulan ini juga dikatakan terlibat dengan kes-kes jenayah dan delinkuensi. Kehadiran kumpulan ‘Mat Rempit’ di Kuala Lumpur boleh dilihat dengan ketara di kawasan Dataran Merdeka sebagai lokasi utama dan kawasan-kawasan sekitarnya seperti di Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di kawasan-kawasan Bangsar, Ampang, Cheras, Sentul, Kepong, Damansara dan Brickfields. Permasalahan ‘Mat Rempit’ melibatkan penggunaan Seksyen 42 APJ 1987 (Akta 333) Pindaan 1999 walaupun sebenarnya undang-undang yang digunapakai adalah melibatkan kesemua pengguna jalan raya di Malaysia.
Kumpulan ‘Mat Rempit’ adalah sekumpulan generasi muda di Malaysia kini dikaitkan dengan aktiviti bermotosikal secara berkumpulan yang terlibat dalam perlumbaan haram dan tingkah laku jenayah seperti jenayah ragut dan melakukan seks luar nikah. Apabila kita melihat ‘Mat Rempit’ sebagai suatu fenomena dalam masyarakat, ‘Mat Rempit’ suatu masa nanti akan hilang dan diganti dengan suatu fenomena lain yang berasal daripada fenomena ‘Mat Rempit’ itu sendiri tetapi dibangunkan dalam bentuk yang baru mengikut peredaran zaman. Pada tahun 1980-an sehingga awal tahun 1990-an fenomena ‘Mat Rempit’ dikenali sebagai fenomena ‘Mat Motor’. Pada ketika itu ‘Mat Motor’ hanya terlibat dalam perlumbaan motosikal sahaja dan jarang menggunakan jalan raya sebagai litar lumba haram dan kurang melakukan aktiviti jenayah. Apabila istilah baru diperkenalkan iaitu ‘Mat Rempit’, identiti dan imej mereka turut berubah.


Kandungan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 1999) iaitu memandu secara melulu dan membahayakan merupakan di antara undang-undang yang digunapakai dalam membanteras kumpulan ‘Mat Rempit’. Namun tiada suatu undang-undang khusus yang digubal oleh pihak kerajaan dalam berhadapan dengan kumpulan ‘Mat Rempit’. Terdapat pihak yang mencadangkan kerajaan dan pihak polis menggubal undang-undang yang khusus untuk menangani segala aktiviti kumpulan ‘Mat Rempit’. Persoalannya adakah setiap fenomena sosial yang wujud di Malaysia di mana ianya dilihat sebagai menggugat ketenteraman dan keharmonian masyarakat perlu digubal dan dikuatkuasakan? Adakah suatu masa nanti Malaysia bakal menjadi sebuah negara yang memiliki pelbagai undang-undang berkenaan masalah sosial? Adakah penggubalan undang-undang ini nanti akan menjadi kayu pengukur masalah sosial di Malaysia? Suatu penyelesaian yang boleh dianggap praktikal adalah penambahbaikan undang-undang sedia ada dan penguatkuasaan yang berterusan perlu dilakukan.

Fenomena ‘Mat Rempit’ boleh dilihat sebagai suatu sub-budaya yang secara jelasnya menentang nilai-nilai dan norma-norma yang dipegang oleh masyarakat konvensional di Kuala Lumpur khususnya dan di Malaysia umumnya. Penjelasan lebih menjurus kepada counterculture di mana sub-budaya yang dipegang menolak budaya masyarakat umum dan mencari suatu gaya hidup alternatif (Macionis 1995 & Schaefer 2003). Counterculture amat popular dan mudah berlaku dalam kalangan golongan muda. Sub-budaya ‘Mat Rempit’ yang dihasilkan melalui bahasa digunakan sebagai suatu identiti bagi membezakan mereka dengan masyarakat konvensional, mengekalkan identiti mereka dan juga merupakan suatu wadah mencari kelainan dan kepuasan melalui aktiviti mereka. Sub-budaya tersebut juga dilihat sebagai suatu jenis ‘pemberontakan’ atau ‘ketidakpuasan hati’ golongan muda terhadap budaya masyarakat umum. Kewujudan sub-budaya
‘Mat Rempit’ juga secara tidak langsung mencabar dan menggugat kestabilan budaya dan kehidupan masyarakat di Kuala Lumpur melalui respon meraka terhadap fenomena ‘Mat Rempit’. Selain itu, pembangunan sub-budaya ‘Mat Rempit’ sebagai counterculture juga merupakan suatu sumber perubahan sosial dalam masyarakat. Perubahan sosial yang berlaku melalui fenomena ‘Mat Rempit’ merupakan suatu bukti berlakunya proses urbanisasi dalam masyarakat.

Selain itu, sub-budaya ‘Mat Rempit’ juga merupakan penyelesaian kolektif golongan muda terhadap kehendak dan keinginan mereka untuk terus hidup dengan cara dan kehendak mereka bertentangan dengan sub-budaya masyarakat konvensional. Sub-budaya ‘Mat Rempit’ juga merupakan reaksi golongan muda terhadap pelbagai cabaran dan tuntutan hidup masyarakat konvensional di bandar seperti di Kuala Lumpur.

7 comments:

Anonymous said...

Salam Encik Fuad.
Saya kenal belaka dengan En. Fuad, tapi eloklah utk sy tidak mendedahkan identiti sy demi menjaga sensitiviti semua pihak. Sy amat kagum dengan kesungguhan En.Fuad dalam menegakkan isu-isu sosial seperti Mat Rempit. Mungkin pengalaman anda pada masa lampau sebagai Mat Rempit serba sedikit boleh membantu dlm menghapuskan gejala sosial ini.
Sekian terima Kasih..
Gudluck utk marking paper. Harap En. Fuad boleh pertimbangkan kesungguhan pelajar dalam menjawab kertas soalan.
-Belia Benci Rempit-

Anonymous said...

mat rempit selalu kacau i kt taman dimensi,BENCI.

Anonymous said...

isu rempit isu yang mungkin tiada ada kesudahannya... mengapa perlu menganggkat isu-isu sosial yang memang mengganggu kehidupan bangsa dan masyarakat. tapi saya kagum dan bangga bertemu dengan pendidik yang tegas tapi bijak dalam menilai dan memahami pelajar sebagai lebih daripada pelajar semata-mata. kagum dan bangga, lain daripada pensyarah-pensyarah lain. .... i like.

Anonymous said...

Salam Encik Fuad

Saya kagum atas kesungguhan anada yang menarik isu Mat rempit sebagai isu yang serius dikalangan remaja. Teruskan usaha anda

Anonymous said...

Mat rempit memang menyusahkan....

Anonymous said...

Salam ..
Tahniah...kerana dapat mengetengahkan isu sosial yang berlaku secara berleluasa dalam masyarakat kita.
Isu Mat Remoit tak akan habis selagi ianya terus menjadi ikutan remaja....budaya ini yang menjadi ikutan nampaknya anak-anak kena diberi perhatian oleh ibu bapa untuk mengawasi mereka.Jangan biarkan anak-anak terus hanyut.

Anonymous said...

assalamualaikum encik fuad..
saya ada issue untuk kita bincangkan bersama. pensyarah uitm dipilih berdasarkan merit, atau selain itu.ada desas desus mengatakan pensyarah yang mempunyai hubungan rapat dengan pelajar telah membocorkan soalan final exam kpd pelajar terbabit.kerana tiada bukti kukuh, tiada pelajar lain sangup membawa hal ini ke tengah. persoalannya, wajar kah tindakan sedemikian rupa.adakah professionalism tidak lg wujud di dalam sistem uitm.saya harapkan uitm dan warganya lebih telus dan jujur dalam melahirkan graduan yang berpotensi.tidak adil rasanya untuk pelajar-pelajar lain.apa pandangan encik fuad.

melorot pacak

melorot pacak