Salam dan Salam Sejahtera

Selamat datang dan jom kita ber'chat' dan berkongsi cerita untuk sesuatu yang bermanfaat dan menghiburkan diri kita dan insan di sekeliling kita.

My Profile

My photo
Ayer Keroh, Melaka Bandaraya Warisan Dunia, Malaysia
Minat dalam membincangkan isu sosial dalam masyarakat konvensional di Malaysia khususnya dan isu-isu berkaitan serta menggalakkan interaksi formal dan tidak formal dalam mengajukan pendapat, idea, komen, kritikan membina dan lain-lain lagi. Sambil juga sudi berkongsi pengalaman, masalah, nasihat dan sebagainya dalam membangunkan diri serta elemen-elemen di persekitaran. Gemar juga menggunakan peluang-peluang untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan untuk memperkayakan diri dengan pengalaman, ilmu dan mencari keberkatan hidup bersama keluarga tercinta kerana Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Pengasih..... amin

Tuesday, November 17, 2009

Peranan Masyarakat Dan Fenomena ‘Mat Rempit’ Menurut Perspektif Islam


Akhlak mulia merupakan elemen penting seorang muslim berjiwa unggul. Junjungan besar nabi Muhammad S.A.W diutus oleh Allah S.W.T adalah untuk menyempurnakan akhlak umat manusia di muka bumi ini sesuai sebagai khalifah Allah S.W.T. Melalui penjelasan ini maka dapat disimpulkan bahawa setiap umat Islam berkewajipan terlibat dalam memperbaiki dan mengukuhkan akhlak Islam umat nabu Muhammad S.A.W. Oleh yang demikian, permasalahan golongan muda khususnya fenomena ‘Mat Rempit’ menjadi tanggungjawab umat Islam di Malaysia dalam membantu golongan ini menghayati konsep akhlak seorang muslim yang sejati dalam membendung permasalahan ini.

Menurut Imam Al Ghazzali menyatakan bahawa keterjaminan masa depan sesebuah masyarakat boleh dinilai melalui kualiti golongan muda yang menjadi sebahagian daripada kelompok dalam masyarakat. Masyarakat Islam perlu menjalankan tanggungjawab dengan mengambil pendekatan secara berkesan tanpa mengharapkan tugas-tugas mendidik golongan muda khususnya muda-mudi Islam dibebankan kepada pihak berkuasa atau pemerintah. Islam telah mencadangkan pelbagai pendekatan dalam mendidik dan membangunkan modal insan khususnya umat Islam seperti konsep memberi nasihat secara berhikmah. Golongan individu masyarakat perlu mendekati golongan ‘Mat Rempit’ dengan corak penasihatan yang boleh diterima oleh mereka daripada memarahi dan meminggirkan golongan ini. Ini bertepatan dengan konsep ‘agama adalah suatu nasihat’ di mana Islam menggalakkan pendekaan ingat-mengingati sesama muslim.

Mengapa golongan muda ini penting untuk diberikan penekanan dan fokus dalam membangunkan diri mereka. Sayyidina Umar Al Khattab suatu ketika dulu pernah bertanyakan sahabat-sahabatnya apakah perkara yang diidamkan mereka dan rata-ratanya menginginkan harta-benda yang banyak kerana ingin melalukan amal jariah dengan bersedekah. Namun dijawab oleh Umar bahawa beliau menginginkan sejumlah manusia seperti Abu Ubaydah Al Jarrah, Muaz Ibn. Jabal dan Salim Maula Abi Hudhaifah untuk mendaulatkan agama Allah S.W.T.. Oleh yang demikian, golongan muda dari perspektif Islam merupakan aset yang paling berharga untuk dipelihara kualiti dan modal insannya agar dapat membantu golongan masyarakat Islam mengukuhkan lagi imej Islam yang kini agak dipandang sepi oleh golongan bukan Islam di dunia. Masyarakat Islam mampu menjadikan golongan muda ‘Mat Rempit’ sebagai generasi muda Al-Quran jika pelbagai langkah serius dan berterusan dapat diambil dan bukan sekadar mengikut musim dalam membangunkan mereka. Kita tidak boleh hanya mengharapkan institusi agama Islam di Malaysia seperti JAKIM dan jabatan agama Islam setiap negeri sebagai contoh untuk memikul tanggungjawab membentuk generasi muda tetapi perlu bermula dari diri kita sendiri dengan mendidik dan membimbing anak-anak, adik-beradik dan kawan-kawan kita sendiri untuk berminat menghayati nilai-nilai dan konsep-konsep akhlak mulia Islam.

Penjelasan ini turut ditekankan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi menerusi konsep Islam Hadhari dalam membentuk modal insan berkualiti. Melalui gagasan ini, modal insan setiap warga Malaysia termasuk golongan muda perlu diberikan peluang dan ruang untuk dibangunkan dalam membentuk suatu masyarakat Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang serta masyarakat Islam yang berkualiti.

Sekiranya diteliti, Islam lebih menjurus kepada mendidik daripada menghukum dalam konsep sebuah masyarakat. Kita sebagai masyarakat Islam tidak seharusnya mempersalahkan golongan muda yang terlibat dalam fenomena ‘Mat Rempit’ tanpa mengambil peluang untuk mendekati dan membantu mereka untuk berubah dengan cara yang dianjurkan oleh Islam itu sendiri. Sebagai contoh dalam mendidik anak-anak untuk mengerjakan solat, kita dianjurkan oleh Islam untuk memberi peluang kepada anak-anak memahami konsep solat dan kepentingannya sebagai seorang Islam pada usia tujuh hingga sepuluh tahun dengan pendekatan hikmah dan selepas berumur sepuluh tahun barulah agenda merotan anak-anak dipraktikkan. Maka jelaslah di sini Islam bukan sebuah agama yang menghukum setiap penganutnya yang bersalah dan melakukan sesuatu yang salah tetapi lebih kepada ‘kelembutan selesa’ dalam mendidik ke arah kebaikan. Pendekatan ini perlu dihayati masyarakat Islam dalam menangani isu ‘Mat Rempit’ agar golongan yang terlibat ini tidak memandang negatif kemampuan dan fungsi masyarakat yang rata-ratanya di Malaysia beragama Islam.

No comments:

melorot pacak

melorot pacak